Ahad, 19 November 2017 | 2:30pm
DATUK Ramli Din. - Foto Malai Rosmah Tuah

Polis bantu tangani kes kematian gajah

SANDAKAN: Polis Sabah akan membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah dalam usaha menangani kes kematian berkaitan gajah Pygmy Borneo di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata ia termasuk kes terbaharu seekor gajah jantan yang ditemui dengan tiga kesan tembakan di Ladang Cenderamata, Selasa lalu.

Selain membantu usaha mengesan suspek, katanya, siasatan polis menjurus kepada kemungkinan senjata yang digunakan suspek adalah senapang buatan sendiri atau dikenali sebagai bakakuk.

"Siasatan masih dijalankan Jabatan Hidupan Liar dan memang ada tiga kesan tembakan (ditemui pada bangkai gajah).

"Polis siasat kemungkinan jika suspek guna bakakuk untuk tembak gajah," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian Selasa lalu, bangkai gajah jantan dengan ketinggian 2.7 meter itu ditemui pekerja ladang, sebelum memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Hidupan Liar.

Bedah siasat terhadap haiwan itu kemudian menemui tiga peluru jenis 'slug' dipercayai menggunakan senapang patah dan gajah dipercayai mati dalam tempoh 48 jam sebelum ia dijumpai.

Sebelum ini, Ramli pernah memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyimpan bakakuk kerana penyimpanan dan pemilikan senjata tidak berlesen itu adalah haram mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Kes pembunuhan gajah terbabit adalah yang terbaharu di negeri ini selepas dua bangkai gajah Pygmy Borneo dengan satu daripada dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya, ditemui di lokasi berasingan di Tawau dan Kinabatangan, September lalu.

Berita Harian X