Jumaat, 24 November 2017 | 3:13pm
ANGGOTA Penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi suspek ketiga kes penyelewengan baja berjumlah RM2.54 juta ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh untuk mendapatkan kebenaran perintah tahanan reman. - Foto Nurul Fhatihah Zakinan

Seleweng baja, suspek keempat direman

AYER KEROH: Seorang lagi suspek kes penyelewengan baja padi di negeri ini, direman selama enam hari bermula hari ini.

Setakat ini, empat lelaki sudah direman berhubung kes penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bernilai RM2.54 juta, sejak awal tahun lalu.

Perintah reman hingga Rabu depan terhadap suspek yang juga pekebun dan peniaga berusia 50 tahun itu, dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Analia Kamaruddin.

Penahanan suspek bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap SPRM tiba di perkarangan kompleks mahkamah, jam 10.30 pagi diiringi pegawai SPRM, sebelum keluar kira-kira 30 minit kemudian.

Suspek ditahan di pejabat SPRM negeri selepas hadir untuk memberi keterangan, jam 6.30 petang kelmarin.

BH sebelum ini melaporkan tiga lelaki masing-masing pengurus projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), pesawah, pesawah dan peniaga ikan berusia 38, 46 dan 52 tahun, direman sejak tiga hari lalu.

Ketiga-tiga suspek dipercayai bersama-sama terbabit menguruskan projek mengusahakan penanaman padi seluas 22.2 hektar yang dipajak di Merlimau, Jasin.

Pengurus projek itu juga dipercayai membuat 23 tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.54 juta membabitkan 56,700 kampit baja, sepanjang tahun lalu yang tidak pernah diluluskan oleh Mesyuarat Penapis PPK.

Baja itu sepatutnya dituntut oleh PPK berkenaan untuk diagihkan kepada penanam padi yang menyertai SBPKP.

Bagaimanapun, suspek dipercayai menjual semula baja terbabit bagi mendapatkan keuntungan peribadi.

Sebuah kereta mewah jenis Audi A4 turut disita dipercayai dibeli menggunakan wang hasil jualan baja berkenaan.

Berita Harian X