Jumaat, 24 November 2017 | 3:22pm
MAT Isa Othman melihat keadaan kereta Proton Satria dan rumah sewanya yang rentung dalam kebakaran di Kampung Keladi. - Foto Azahar Hashim

Enam beranak hilang tempat berlindung

KULIM: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kebakaran memusnahkan kediaman mereka di Kampung Keladi, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu turut menyebabkan Proton Satria milik Mat Isa Othman, 59, yang diletak di hadapan rumah terbakar.

Dua motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda turut terbakar kira-kira 30 peratus.

Ketika kejadian, Mat Isa dan isteri, Nurul Fazlyana Mustafa, 30, serta anak bongsu berusia setahun lima bulan berada di bilik tidur, manakala dua anak perempuan berusia 15 dan 11 tahun serta anak lelaki berusia sembilan tahun di bilik berasingan.

"Kami baru tidur sebelum anak sulung menyedari kebakaran berlaku.

"Saya bergegas membawa isteri dan anak keluar. Dalam keadaan kelam-kabut itu, kami keluar sehelai sepinggang dan tidak sempat menyelamatkan harta benda.

"Seekor kucing Parsi yang baru dua hari dibela turut mati dan bangkainya ditemui dalam bilik tidur anak perempuan saya," katanya yang menganggarkan kerugian dialami mencecah RM100,000.

Sementara itu, anak sulungnya, Maisarah, 15, mendakwa terdengar bunyi api dihidupkan di dapur sebelum terhidu bau benda terbakar.

"Sebaik keluar dari bilik, saya melihat api marak di dapur dan mengejutkan seisi rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan jam 1.02 pagi dan bergegas ke lokasi bersama dua jentera serta ambulans Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS), dengan dibantu jentera dari BBP Kulim Hi-Tech.

"Api dapat dikawal kira-kira 10 minit kemudian dan tiada kecederaan dilaporkan manakala punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X