Sabtu, 25 November 2017 | 3:09pm
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed

MAPO, syarikat penerbangan bekerjasama perangi kegiatan pemerdagangan manusia

KUALA LUMPUR: Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) bekerjasama dengan dua syarikat penerbangan tempatan, dalam usaha memerangi kegiatan pemerdagangan manusia.

Menerusi latihan dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Malindo Air itu, anak kapal serta kakitangan akan dilatih untuk mengenal potensi penumpang yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang.

Antaranya, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata dengan melihat bahasa tubuh badan.

Beliau berkata, program latihan berkenaan dalam peringkat kajian modul oleh organisasi antarabangsa.

"Kerajaan melalui MAPO menjalankan penerangan bertujuan memberikan pengetahuan kepada beberapa pihak termasuk syarikat penerbangan, yang kita tahu jalan udara satu cara digunakan sindiket untuk membawa masuk mangsa pemerdagangan orang.

"Menerusi latihan itu, anak kapal seperti pramugari dan pramugara boleh mengenal pasti penumpang yang disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan melaporkannya kepada pihak keselamatan lapangan terbang," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau sebelum itu melancarkan forum umum 'Walk The Talk - Stop Trafficking Women and Girls' anjuran Soroptimist International Region of Malaysia (SIROM) di Asia Pacific University of Techology and Innovation (APU) di sini.

Nur Jazlan berkata, untuk tempoh Januari sehingga awal bulan ini, seramai 1,086 wanita dilaporkan menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara ini, dengan 177 kes dilaporkan berlaku pada bulan ini.

Untuk sepanjang 2016, katanya, lebih 3,000 mangsa direkod.

"Isu penyeludupan dan pemerdagangan manusia di negara ini ini bukan isu yang besar namun, ia semakin berkembang. Justeru kerajaan perlu mengambil langkah tertentu untuk membendungnya.

"Kebanyakan mangsa terdiri daripada warga asing yang dijanjikan dengan kerja di negara ini sebelum ditipu sindiket. Contohnya dipaksa menjadi pelacur atau disuruh bekerja dalam sektor tertentu tanpa diberi gaji. Ada juga mangsa daripada kalangan orang tempatan," katanya lagi.

Beliau berkata, sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia mempunyai rangkaian di seluruh dunia, selain mempunyai sumber kewangan yang banyak menyebabkan kegiatan itu sukar dibanteras.

Katanya, sindiket itu juga mempunyai keupayaan menggagalkan pendakwaan di mahkamah seperti mengugut saksi.

"Kerajaan bercadang mengadakan undang-undang yang berteraskan kepada pencegahan seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bagi menahan mereka yang disyaki terbabit kegiatan sedemikian.

"Kita boleh menggunakan POCA serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 untuk tujuan pencegahan," jelas beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia patut melaporkannya kepada pihak berkuasa atau menghubungi talian khas MAPO di 03-8000 8000.

203 dibaca
Berita Harian X