X
Ahad, 26 November 2017 | 3:51pm
PENGARAH Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENGARAH Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor. - Foto Mohd Azren Jamaludin

61,057 saman trafik warga asing belum dibayar

JOHOR BAHRU: Sebanyak 61,057 saman membabitkan kenderaan warga asing masih belum dijelaskan dengan 37,506 saman membabitkan warganegara Singapura, sejak tahun 2014.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata sejak tahun 2014, sebanyak 81,706 saman membabitkan warganegara asing bagi pelbagai kesalahan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 20,651 saman sudah dijelaskan tetapi 61,057 saman belum dijelaskan.

"Tiada alasan untuk warga asing tidak menjelaskan saman kerana pelbagai kemudahan disediakan. Orang ramai boleh membuat pemeriksaan dan pembayaran menerusi atas talian atau di semua cawangan trafik.

"Bagi warga Singapura, mereka boleh memeriksa dan membuat pembayaran saman di 900 kiosk di negara itu, selain bayaran dalam talian, di cawangan trafik, Johor Premium Outlet (JPO) serta Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah, dekat sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Ops Saman Tertunggak Warganegara Asing Kelapan (OSTWA 8), di sini hari ini.

Sehubungan itu, Sharul Othman berkata, OSTWA dijalankan bagi memberi kesedaran kepada pesalah trafik warga asing menyelesaikan saman tertunggak dan mematuhi undang-undang jalan raya ketika berkunjung ke negara ini.

Katanya, pihaknya berharap langkah penguatkuasaan operasi itu memberi kesedaran kepada pesalah trafik warga asing supaya segera menyelesaikan saman tertunggak mereka.

Beliau berkata, operasi itu juga menjadi antara langkah persediaan kepada warganegara Singapura untuk menjelaskan semua saman tertunggak sebelum pelaksanaan sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) mulai Januari tahun depan.

Selain itu Sharul Othman berkata, secara keseluruhan, sejak tahun 2014 lalu, sebanyak 20.5 juta saman dikeluarkan dengan 7.7 juta saman sudah dijelaskan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X