Isnin, 27 November 2017 | 6:35pm
KETUA Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman menunjukkan pistol yang dirampas pada sidang media bilik media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, Kuantan, hari ini. - Foto Mohd Asyraf Sawal

Dua polis, rakan memeras ugut sebelum menyamun

KUANTAN: Tiga penjenayah termasuk dua anggota polis, yang ditahan selepas menyamun dan menembak seorang peniaga runcit di Jaya Gading pada Sabtu lalu, dikesan melakukan pemerasan jenayah kira-kira tiga jam sebelum kejadian itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, berkata siasatan mendapati semua suspek termasuk dua anggota polis berpangkat Koperal dan Konstabel serta rakan mereka bekerja sebagai buruh, menahan seorang penunggang motosikal berhampiran sebuah premis di Jalan Wong Ah Jang di sini, kira-kira jam 2 pagi.

Katanya, semua suspek berusia 25 tahun menaiki kereta PERODUA Axia berwarna kelabu dan rakan dua anggota polis itu menyamar dari Bukit Aman, sebelum meminta mangsa menunjukkan MyKad dan lesen memandu.

"Mangsa yang tidak mempunyai lesen memandu, kemudian digari dan diugut akan dibawa ke balai polis. Suspek meminta bayaran RM500 jika mangsa mahu dilepaskan.

"Mangsa kemudiannya merayu dibebaskan dan menyerah RM300 sebelum dibebaskan," katanya pada sidang media bilik media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, kira-kira jam 5 pagi sama, suspek kemudian ke rumah peniaga runcit di Kampung Jaya Gading, kononnya mahu membeli 11 karton rokok sebelum berlaku pergelutan di antara mangsa dengan seorang daripada suspek.

Katanya, suspek mengeluarkan sepucuk Revolver daripada beg pinggang sebelum melepaskan tembakan mengenai leher mangsa.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta yang di dalamnya dua anggota polis sedang menunggu.

"Anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mendapati mangsa sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan isteri mangsa memaklumkan mengenali seorang daripada suspek iaitu orang awam yang biasa membeli rokok di premis berkenaan.

"Kita turut menemui kad pengenalan, lesen memandu dan sijil sakit milik seorang anggota polis, sebelum berjaya mengesan dua suspek di Indera Mahkota kira-kira jam 11 pagi iaitu orang awam serta anggota polis bertugas di cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

"Pemeriksaan menemui 11 karton rokok, pistol dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan berkenaan. Kita juga menemui gari dalam kereta berkenaan tetapi ia bukan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Rosli berkata, susulan penahanan itu membawa kepada tangkapan suspek ketiga, anggota polis yang bertugas di Bahagian Komunikasi IPK Pahang di Galing di sini, dan menemui kelongsong peluru dipercayai digunakan dalam kejadian samun dan tembak.

"Siasatan mendapati kad pengenalan, lesen memandu dan sijil sakit di lokasi kejadian bukan milik ketiga-tiga suspek, sebaliknya kepunyaan seorang anggota polis yang sudah membuat laporan kehilangan mengenainya pada 23 November lalu.

"Mangsa itu turut mengenali dua anggota polis yang terbabit dalam kes berkenaan, berkemungkinan beg pinggangnya turut dicuri suspek, manakala pistol digunakan dalam kejadian ditugaskan kepada seorang daripada mereka," katanya.

Rosli berkata, semua suspek direman mulai semalam sehingga 2 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Berita Harian X