Isnin, 27 November 2017 | 8:15pm
FOTO hiasan.

Budak mangsa dera meninggal dunia

KEPALA BATAS: Budak lelaki berusia setahun yang koma selepas mengalami pendarahan otak akibat didera ibunya, Rabu lalu, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kanak-kanak itu mengalami mati otak pada jam 10.45 pagi tadi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.

"Polis menerima panggilan daripada hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat mati otak dan pada jam 5.05 petang tadi, denyutan jantung mangsa berhenti sepenuhnya.

"Kanak-kanak itu sebelum ini dibawa ke HPP bagi mendapatkan rawatan ekoran kecederaan kritikal yang dialaminya sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Noorzainy berkata, kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, kini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Dalam kejadian petang Rabu lalu, mangsa dilaporkan koma selepas mengalami pendarahan otak dipercayai didera ibu kandungnya warga Indonesia berusia 26 tahun di rumah mereka di Lahar Kepah, dekat sini.

Kejadian dera itu dikesan pihak hospital selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri selain terdapat kesan lebam di badan, dahi serta pipi ketika dirawat di Hospital Kepala Batas (HKB) sebelum mangsa dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kemudian dibawa ke ICU HPP.

Noorzainy berkata, ibu mangsa masih dalam tahanan reman hingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan kes.

3053 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »