Khamis, 30 November 2017 | 12:06am
Mudir Tahfiz Asmaa Al-Ikhlas, Zaidi Che Hassan menunjukkan gambar Mohamad Bazli Seriumi, 16, yang meninggal dunia akibat lemas ketika terjun ke dalam kolam ikan yang kedalaman melebihi satu meter di Sekolah Tahfiz Asmaa Al-Ikhlas, Pulau Raja. - Foto ihsan Pembaca

'Tenggelam lima minit'

TUMPAT: Tindakan seorang remaja yang terjun ke dalam sebuah kolam ikan terbiar bertukar tragedi apabila lemas selepas tenggelam selama kira-kira lima minit.

Dalam kejadian di Pusat Tahfiz Asmaa Al-Ikhlas, Pulau Raja, di sini, kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, Mohamad Bazli Seriumi, 16, bersama lima rakannya dikatakan ingin menarik bot yang menjadi kegunaan warga sekolah terbabit ke tebing.

Rakan mangsa, Muhammad Anas Mohamed, 13, bersama empat rakan menaiki bot dengan ditemani guru, Abdul Rahman Zaidi, 21, yang berada di dalam air dan menolak bot ke tebing.

"Bazli tiba lewat dan ingin menaiki bot yang berada 50 meter dari tebing kolam.

"Dia terus terjun ke dalam kolam dan saya sangkakan dia bergurau apabila melihat tangannya terkapai-kapai dan tenggelam timbul kerana dia pandai berenang," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat, hari ini.

Apabila mangsa tidak kelihatan, Abdul Rahman berenang ke lokasi Mohamad Bazli tenggelam.

Selepas lima minit mencari di kawasan sekitar, mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Difahamkan, Mohamad Bazli mendaftar di pusat tahfiz itu September lalu.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tumpat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bunut Payong, Kota Bharu, malam tadi.

Berita Harian X