Ahad, 3 Disember 2017 | 9:20am
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membantu penduduk Taman Desa Tanjung Damai berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara setelah kawasan taman perumahan itu dinaiki air hari ini. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir meningkat di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 1,479 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 1,148 pada 8 malam tadi.

Mengikut laporan portal Info Banjir, jumlah mangsa banjir paling ramai ialah di Kuala Nerus, iaitu 824 orang (188 keluarga) di empat pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 478 orang (104 keluarga) malam tadi.

Mangsa paling ramai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, iaitu 659 orang, diikuti SK Tok Jiring (81), SK Bukit Gasing (59) dan SK Bukit Nenas (25).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata peningkatan mendadak di Kuala Nerus itu disebabkan air pasang sehingga air tidak dapat mengalir ke laut dan banyak kawasan dinaiki air.

"Bagaimanapun, keadaan dijangka bertambah baik hari ini dan penduduk terjejas banjir di Kuala Nerus dijangka berkurangan.

"Marang yang merekodkan pemindahan mangsa banjir paling ramai malam tadi pula masih kekal dengan jumlah sama, iaitu 497 orang (142 keluarga) di empat PPS," katanya.

Jumlah mangsa banjir di Dungun juga kekal tidak berubah iaitu 45 orang (11 keluarga) yang berada di Dewan Sivik Paka.

Che Adam berkata, di Kuala Terengganu pula, terdapat sedikit pertambahan mangsa iaitu 81 orang (24 keluarga) berbanding 65 orang (20 keluarga) malam tadi.

"Setiu pula merekodkan penurunan iaitu 32 orang (tujuh keluarga) di Surau Kampung Nyatoh dan hanya PPS itu masih beroperasi ketika ini.

"Selain itu, tiada jalan persekutuan atau jalan negeri yang ditutup kepada kenderaan seperti malam tadi kerana semua laluan yang dinaiki air sudah boleh digunakan pagi ini," katanya.

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar tetap berhati-hati kerana Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan angin kencang timur laut dengan kelajuan 40-50 kilometer/jam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak, Labuan dan Sabah (pedalaman dan pantai barat) hingga Selasa ini.

"Angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," katanya. - BERNAMA

729 dibaca
Berita Harian X