Ahad, 3 Disember 2017 | 5:30pm
MUHAMMAD Daris Wafiy bersama adiknya, Muhammad Daris Amsyar menatap wajah bapanya, Sairulazuwan Nadzim sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 9 Lekir. - Foto Muhaizan Yahya

"Mama pesan, tengokkan adik-adik"

SITIAWAN:  "Masa opah (nenek) kejut dan bagi tahu mama, papa dan adik sudah tiada, saya hanya diam tapi dengar semua orang dalam rumah menangis.

"Kali terakhir saya jumpa mama awal pagi tadi sebelum mama nak balik. Mama cium kami dan kata mama balik dulu...mama pesan pada saya supaya tengokkan adik-adik," kata Muhammad Daris Wafiy Sairulazuwan, 10.

Muhammad Daris Wafiy adalah anak sulung kepada Sairulazuwan Nadzim, 37, dan Azilina Abdul Aziz, 37, yang maut bersama Muhammad Daris Iffat yang berusia tiga bulan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, tiga sekeluarga maut dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan berhampiran Kampung Kayan di sini.

Nahas itu menyebabkan Muhammad Daris Wafiy dan dua lagi adiknya, Muhammad Daris Rayyan, 9, dan Muhammad Daris Amsyar, 5, yatim piatu sekelip mata.

Muhammad Daris Wafiy berkata, selepas dikejutkan ibunya dan bersalaman dia dan Muhammad Daris Rayyan kembali menyambung tidur.

"Sejam selepas itu, tiba-tiba opah datang kejut kami dan beritahu mama, papa dan adik sudah tiada," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Batu 9 Lekir di sini, hari ini.

Jenazah tiga sekeluarga itu selamat dikebumikan pada jam 4 petang, semalam.

Muhammad Daris Wafiy berkata, dia memilih untuk tinggal bersama datuk yang juga ayah kepada bapanya, Nadzim Mohd Taib dan bersekolah di sini. 

Nadzim, 68, pula berkata, dia dan isterinya akan menjaga dan menguruskan persekolahan tiga cucunya itu di sini selepas ini.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan bagi Sairulazuwan yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu menghantar semua cucunya ke rumah setiap kali musim persekolahan.

"Mereka memang sudah biasa duduk dengan saya dan sering menghabiskan cuti sekolah di rumah kami.

"Saya rasa seeloknya biarlah mereka tinggal bersama kami selepas ini," katanya. 

19644 dibaca
Berita Harian X