Isnin, 4 Disember 2017 | 11:11am
GAMBAR fail. Penduduk Taman Desa Tanjung Damai meredah banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara banjir setelah kawasan taman perumahan itu dinaiki air hari ini. - Foto BERNAMA

Banjir Terengganu makin pulih

KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu semakin pulih apabila satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, pagi ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, satu PPS di Setiu yang sebelum ini menempatkan 32 mangsa daripada tujuh keluarga, ditutup jam 9 pagi tadi.

Ia menjadikan keseluruhan jumlah mangsa yang masih berada di PPS di tiga daerah iaitu Marang, Kuala Nerus dan Dungun menurun kepada 739 mangsa, membabitkan 173 keluarga di lima PPS.

Ia berkurangan berbanding 811 orang daripada 189 keluarga yang masih berada di PPS di empat daerah sehingga lewat malam tadi.

Kuala Nerus masih mencatatkan jumlah mangsa teramai setakat ini iaitu 683 mangsa daripada 157 keluarga di tiga PPS setakat ini.

Di Dungun, seramai 30 mangsa membabitkan tujuh keluarga masih berada di satu PPS, manakala 26 mangsa daripada sembilan keluarga di satu PPS di Marang.

Berita Harian X