Selasa, 5 Disember 2017 | 4:00pm

Pukul adik kena denda RM1,600

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,600 ke atas seorang penoreh getah yang didakwa sengaja mencederakan adik perempuannya menggunakan besi penyangkut langsir, Sabtu lalu.

Hukuman itu diperintahkan Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman sejurus tertuduh G Kalidasan, 24, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Maizatul Munirah turut memerintahkan Kalidasan dihukum penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang yang masih bebas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas G Saraswathy, 21, dengan menggunakan besi penyangkut langsir sehingga mangsa mengalami cedera di bahagian kepala dan kedua-dua lututnya di sebuah rumah di Sentul, pada jam 5 petang, 2 Disember lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

Terdahulu, Kalidasan yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman minimum atas alasan tertuduh sudah insaf dan memohon maaf daripada adiknya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesan kecederaan yang dialami mangsa.

"Sebagai seorang abang, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa bukan memukulnya," katanya.

Tertuduh membayar denda.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X