Rabu, 6 Disember 2017 | 3:42pm
KAUNSELOR daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tumpat, Aziziah Abdullah (empat dari kanan) dan sukarelawan lain memberi nasihat kata semangat kepada sebahagian 35 mangsa banjir yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan, Tumpat. - Foto Syamsi Suhaimi

Hanya 62 mangsa banjir di Kelantan

KOTA BHARU: Cuaca baik sejak beberapa hari lalu menjadikan mangsa banjir di Kelantan hanya tinggal 62 mangsa yang berada di sebuah pusat pemindahan di Tumpat.

Pasir Mas yang sebelum ini mencatatkan bilangan mangsa paling tinggi kini pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditutup hari ini.

Berdasarkan portal eBanjir, hanya tinggal satu sahaja lagi PPS yang masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan yang menempatkan 16 keluarga

.Sementara itu, penduduk di beberapa kampung di Tumpag yang sering dilanda banjir termasuk Kampung Bendang Pak Yong, Simpangan dan Kubang Sawa menyifatkan mereka mampu belum menarik nafas lega walaupun banjir sudah pulih.

Penduduk Kampung Simpangan, Ibrahim Deraman, 67, berkata walaupun sudah pulang ke rumah, mereka sekeluarga masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana akan dilanda banjir gelombang kedua.

"Memandangkan laporan media mengatakan hujan lebat bermula esok, kita sudah mengambil pendekatan awal menyelamatkan harga benda selain binatang ternakan bagi mengelak berlaku kerugian.

"Setiap tahun situasi sama berlaku menyebabkan kita mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal," katanya.

91 dibaca
Berita Harian X