Khamis, 7 Disember 2017 | 2:04pm

Lelaki dipenjara 4 bulan curi patung Star Wars

PETALING JAYA: Seorang pekerja kilang dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri enam patung mainan di kedai permainan popular tiga bulan lalu.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamad Firdaus Abdullah yang mendakwa dia mencuri enam barangan bernilai lebih RM1,000 itu kerana menerima layanan buruk.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang mengaku salah atas kesalahan itu, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan, iaitu 6 September lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mencuri enam patung mainan, termasuk koleksi Star Wars seperti Sandtrooper, Shoretrooper dan Yoda yang bernilai RM1,093.45 di Empire Shopping Gallery, Subang Jaya pada jam 11.30, 6 September 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh denda serta bagi kesalahan kedua dan seterusnya, diseksa dengan penjara dan boleh denda atau sebat, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Salamiah menyoal tertuduh mengapa melakukan jenayah curi, dan Muhamad Firdaus menjawab, dia tidak berpuas hati dengan layanan tidak sewajarnya dari kedai itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah meringankan hukumannya atas alasan dia tidak pernah berjumpa keluarganya sepanjang tempoh direman.

Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee memohon hukuman penjara kenakan ke atas tertuduh memandangkan dia mempunyai niat untuk membalas dendam dengan melakukan kesalahan itu.

Berita Harian X