Sabtu, 9 Disember 2017 | 10:31am
Rakaman kamera litar tertutup, Jothimani ketika dilarikan tiga lelaki menaiki sebuah kereta jenis Mercedez berwarna putih di tempat kerjanya pagi semalam, tetapi ditemui polis malam tadi. - Foto ihsan Pembaca

Mangsa dilarikan tiga lelaki ditemui selamat

SHAH ALAM: Ibu kepada dua anak yang dilarikan oleh tiga lelaki pagi semalam, ditemui selamat di Kampung Jawa, malam tadi.

Adik mangsa, S Sathya, 33, berkata kakaknya, S Jothimani, 49, ditemui polis kira-kira jam 10 malam dengan beberapa kesan kecederaan di badan.

Katanya, sebaik kakaknya ditemui, polis menghubungi keluarga mereka untuk memaklumkan perkara itu.

"Ketika ditemui, kakak dalam keadaan lemah dan kini dirawat di sebuah hospital di sini.

"Kakak memberitahu barang kemas serta beberapa lagi barang miliknya diambil suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, ketika ditemui, tiga suspek yang melarikannya sudah menghilangkan diri.

Semalam, Jothimani yang bekerja sebagai penyelia kilang dilarikan di hadapan tempat kerjanya di Kampung Jawa, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Jothimani dikatakan menerima panggilan telefon memintanya keluar untuk mengambil barang, yang kononnya dibeli secara atas talian.

Bagaimanapun, ketika mahu mengambil barang berkenaan, mangsa dilarikan tiga lelaki dengan menaiki sebuah kereta Mercedes.

8197 dibaca
Berita Harian X