Sabtu, 9 Disember 2017 | 11:08am
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim. - Foto Sharul Hafiz Zam

Tokan dadah sedang khayal ditahan polis

PENDANG: Seorang lelaki disyaki tokan dadah yang diburu polis sebelum ini berjaya diberkas dalam serbuan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Titi Kera, Mukim Tobiar, di sini petang semalam.

Suspek yang berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pendang pada jam 6.30 petang dalam sebuah kereta jenis Honda Accord di hadapan rumah berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan, suspek dalam keadaan khayal dan tidak sempat melarikan sebelum ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, berkata hasil pemeriksaan pada tubuh badan suspek tidak menemui barang salah, namun polis menemui satu beg hitam berzip biru di atas lantai alas pemijak kaki bahagian tempat duduk pemandu di keretanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam beg hitam itu kemudian menemui paket plastik lutsinar yang berisi serbuk hablur jernih disyaki dadah syabu anggaran berat 103 gram, lapan papan foil warna merah yang setiap satu mengandungi 10 biji pil disyaki erimin 5 seberat kira-kira 22.80 gram.

"Selain itu, kita turut merampas masing-masing satu alat penimbang digital, bilah gunting besi, paket plastik lutsinar dan MyKad milik suspek serta kad minyak untuk membantu siasatan.

"Turut dirampas wang tunai sebanyak RM1,121 untuk siasatan lanjut," katanya di sini.

Fadzil berkata, berdasarkan rekod, suspek yang sudah berkahwin itu sebelum ini pernah terbabit dengan kesalahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Beliau berkata, suspek tidak bekerja, malah hasil ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati positif dadah jenis methaphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39 A (1) ADB 1952," katanya.

Berita Harian X