Ahad, 10 Disember 2017 | 11:13am
Lokasi bot nelayan bot nelayan karam akibat dipukul ombak di empat batu nautika dari Pulau Layak, Tanjung Gemuk, dekat sini, malam kelmarin. - Foto ihsan APMM

Kapal karam, seorang awak-awak dikhuatiri hilang

ROMPIN: Seorang awak-awak dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya bersama lima yang lain karam akibat dipukul ombak di empat batu nautika dari Pulau Layak, Tanjung Gemok, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian difahamkan berlaku kira-kira jam 8.30 malam dan awak-awak yang dikhuatiri hilang dikenali Che Mohd Arif Che Hussin berusia 38 tahun.

Timbalan Pengarah Wilayah Maritim Timur (Operasi), Kapten Maritim V Pannir Selvan, berkata pihaknya menerima laporan daripada Balai Polis Rompin kira-kira jam 9 pagi semalam yang memaklumkan sebuah bot nelayan kelas B karam di lokasi kejadian.

Katanya, bot nelayan itu karam akibat dipukul ombak menyebabkan air memasuki bot dan merosakkan pam menyedut air.

"Tekong bot mengarahkan semua terjun ke laut bagi menyelamatkan diri dan mereka diselamatkan sebuah bot nelayan yang berada berdekatan.

"Tekong mendapati hanya mereka berlima sahaja yang naik ke bot manakala seorang lagi awak-awak didapati hilang yang dikenali Che Mohd Arif Che Hussin," katanya dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Pannir Selvan berkata, susulan itu Pusat Penyelaras Mencari dan Maritim Malaysia (MRSC) di Kuantan sudah diaktifkan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada jam 9.30 pagi semalam.

"Bot Maritim Kilat 14 (BM KILAT 14) dari Pangkalan Maritim Mersing dikejarkan ke lokasi pencarian, sehingga kini mangsa masih belum ditemui, operasi turut dibantu Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia," katanya.

Katanya, pada musim tengkujuh kini nelayan dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak berkuasa mengenai keadaan laut dan memastikan peralatan keselamatan lengkap sebagai langkah berjaga-jaga.

"Komuniti maritim boleh berhubung terus dengan Maritim Malaysia sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini di laut di talian 09-5717345 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Berita Harian X