Ahad, 10 Disember 2017 | 12:45pm
Keadaan kereta yang melanggar peserta maraton di Klang pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

Tiga peserta maraton cedera dilanggar dari belakang

KLANG: Seorang peserta larian Klang City International Marathon parah manakala dua yang lain cedera dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Kapar Batu 2, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, berkata dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, kenderaan terbabit dari arah Klang menghala ke Kapar melanggar bahagian belakang peserta larian dari arah sama.

Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Evelyn Ang Gek Suan, 44, parah pada kepala dan rahang.

"Dua yang lain, Amiruddin Hamid, 37, cedera pada kepala dan Ahmad Hadafi Jus, 42, mengalami luka buku lali kiri.

"Tiga mangsa terbabit dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapat rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazelan berkata, pemandu kenderaan terbabit seorang lelaki berusia 27 tahun, tidak cedera.

"Bampar dan bonet kereta pemandu kemek pada bahagian hadapan. Siasatan mendapati pemandu tidak mabuk dan keputusan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah. Kami sudah menghantar pemandu ke hospital untuk ujian darah," katanya.

Berita Harian X