Ahad, 10 Disember 2017 | 7:15pm

'Jangan beri orang lain guna akaun bank'

KUALA LUMPUR: Mereka yang mengizinkan akaun perbankan peribadi digunakan untuk kegiatan penipuan jenayah komersial akan didakwa kerana dianggap bersubahat dengan dalang jenayah komersial.

Tindakan itu merangkumi atas mereka yang tidak terbabit secara langsung atau mengetahui akaun peribadi menerima wang daripada kes penipuan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata golongan yang mudah memberi kebenaran akaun bank digunakan biasanya dijanjikan komisen dalam jumlah tertentu daripada penjenayah siber.

"Berdasarkan modus operandi sebelum ini, suspek sindiket penipuan akan mengarahkan mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank milik orang lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mendapati, pemilik akaun bank berkenaan adalah antara suspek yang terbabit dalam setiap kes penipuan," katanya dalam Program Pencegahan Jenayah 'Be Smart, Don't be a Victim of Cybercrime' di sini, petang tadi.

Katanya, pemilik akaun terpedaya kerana akan memperoleh wang dengan cara mudah.

"Akaun bank kita adalah hak kita dan tidak boleh diberi kepada orang lain kerana kalau berlaku kes seperti ini, mereka (pemilik akaun) yang harus bertanggungjawab," katanya.

Antara kes penipuan yang sering menggunakan akaun bank milik orang lain ialah African Scam (penipuan cinta internet) dan pembayaran barang melalui internet.

DATUK Mazlan Lazim menampal pelekat Talian Aduan Polis pada sebuah premis ketika melawat Pelaza Low Yatt sempena program Pencegahan Jenayah "Be Smart- Don't Be A Victim Of Cybercrime" Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di mari-mari Studio, Plaza Low Yatt, Bukit Bintang. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X