Isnin, 11 Disember 2017 | 1:39pm
KOMANDER Maritim Sanifah Yusof.- Foto ihsan APMM

2 pemancing hilang selepas bot karam

KOTA TINGGI: Dua pemancing hilang selepas bot yang mereka naiki karam di lokasi kira-kira 0.5 batu nautika timur Abu Bakar Maritim Base (ABMB), di perairan Batuan Tengah, petang semalam.

Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima laporan dari Abu Bakar Maritime Base (ABMB), pada jam 4.20 petang semalam.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Tan Soon Heng, 35, dan Chan Chong Kuok, 51. Kedua-duanya dari Johor Bahru.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof, berkata bot peronda Maritim Malaysia ditugaskan ke kawasan berkenaan bagi membantu menyelamatkan mangsa.

Katanya, setibanya bot peronda Maritim Malaysia di lokasi itu, bot terbabit didapati karam sepenuhnya dan dua mangsa yang berpaut pada bot juga gagal dijumpai.

"Operasi SAR masih diteruskan hari ini membabitkan aset dari Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan 30 anggota pasukan penyelamat," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Maritim Malaysia memandang serius terhadap sebarang kecemasan di laut dan sentiasa mengambil langkah dan inisiatif yang terbaik dalam usaha mengurangkan kadar kehilangan nyawa di laut.

Orang ramai terutamanya komuniti maritim dinasihatkan supaya sering mengambil langkah persediaan awal ke laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan di laut memandangkan cuaca pada masa kini yang tidak menentu.

Berita Harian X