Selasa, 12 Disember 2017 | 11:20am
GAMBAR keluarga Ismail Yaacob dan isteri Zarina Yong.- Foto ihsan media
KEMALANGAN melibatkan sebuah lori treler dengan tiga buah kereta di persimpangan lampu isyarat ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong.- Foto NSTP/Muhaizan Yahya
ANGGOTA Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan lori treler dekat MRSM Lenggong pada Ahad yang mengorbankan 3 orang di tempat kejadian dan seorang lagi pada Selasa di Hospital Taiping.

Bapa tiga beradik meninggal pagi tadi

IPOH: Bapa tiga beradik yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong di Jalan Kuala Kangsar- Gerik di Lenggong, kelmarin meninggal dunia pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Mat Isa, berkata Ismail Yaacob, 53, meninggal dunia jam 1.40 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Taiping.

Ismail parah dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan empat kenderaan lain.

Dalam kejadian itu jam 11 pagi, tiga anaknya maut manakala Ismail dan isterinya, Zarina Yong, 44, parah dan seorang lagi anak pasangan itu cedera.

Sebuah treler yang dipercayai mengalami masalah brek merempuh empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat itu termasuk Honda HRV dinaiki semua ahli keluarga itu.

Mangsa yang maut adalah dua beradik kembar berlainan jantina iaitu Muhammad Hanif Ismail dan Nur Ain Hanifah berusia lapan tahun dan kakak mereka Nur Ain Hafizah, 22.

Kematian Ismail menjadikan korban akibat nahas itu kepada empat orang.

Sementara itu, pemandu treler berusia 24 tahun direman tiga hari hingga esok.

Mahkamah membenarkan suspek direman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X