Rabu, 13 Disember 2017 | 11:39am

Jenazah 5 sekeluarga dibawa pulang ke Kluang

SEGAMAT: Jenazah lima sekeluarga yang terkorban dalam nahas kereta dan bas ekspres di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini, petang semalam kini selesai dituntut dan kemudiannya dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Kluang pada jam 10.50 pagi tadi.

Semua jenazah dibawa dengan menaiki dua kereta jenazah sebaik sahaja proses bedah siasat dan memandikan mayat selesai dilakukan.

semua jenazah berkenaan akan dibawa pulang ke rumah datuk mereka di Kampung Mengkibol, Kluang untuk disembahyangkan dan dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Haji Manan, Kluang.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain, 30 dan isterinya, Allahyarhamah Zinnirah Abdul Hamid, 28, dimandikan dan dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Segamat pada jam 6.25 pagi tadi, manakala jenazah anak bongsu pasangan itu, Nur Alia Humairah, 3 bulan dibawa keluar dan ditempatkan di dalam kenderaan jenazah kira-kira jam 6.40 pagi tadi.

Jenazah Muhammad Abu Ajwad, 4, pula selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira jam 9 pagi tadi, manakala jenazah anak sulung, Nur Maghfirah, 6, selesai menjalani proses yang sama kira-kira jam 10.40 pagi tadi.

Kira-kira 50 saudara dan sahabat mangsa berkumpul di perkarangan unit forensik Hospital Segamat sejak malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, enam sekeluarga terbabit yang dalam perjalanan dari Muadzam Shah, Pahang ke Kluang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.

MANGSA terkorban dalam nahas kereta dan bas ekspres di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru-Seremban, di Segamat, semalam.

Kemalangan itu menyebabkan Muhamad Abu Dujanah dan isterinya, Zinnirah maut di lokasi kejadian.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah anak mereka iaitu Nur Magfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4 dan Nur Alia Humairah, tiga bulan.

Seorang lagi anak mereka iaitu Nur Ghaziyah Athirah, 3, kini dilaporkan dalam keadaan kritikal dan masih mendapatkan rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan kerana kecederaan parah akibat kejadian berkenaan.

JENAZAH Allahyarham Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain dibawa masuk ke dalam van jenazah di Hospital Segamat untuk dikebumikan di kampung halaman. - Foto Adi Safri
ALLAHYARHAMAH Zinnirah Abdul Hamid dibawa masuk ke dalam van jenazah di Hospital Segamat untuk dikebumikan di kampung halaman. - Foto Adi Safri
JENAZAH Nur Alia Humairah dibawa keluar dan ditempatkan di dalam kenderaan jenazah kira-kira jam 6.40 pagi tadi. - Foto Adi Safri
Berita Harian X