Rabu, 13 Disember 2017 | 3:58pm

5 sekeluarga dikebumi

KLUANG: Jenazah lima sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 176 persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan, di sini, sebentar tadi.

Jenazah Allahyarham Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain dan isteri, Allahyarham Zinnirah Abdul Hamid, 28, serta tiga anaknya, Nur Magfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4, dan Nur Alia Humairah, tiga bulan, selamat dikebumikan pada jam 2.35 petang tadi.

Lebih 50 ahli keluarga, sahabat dan jiran turut hadir ke tanah perkuburan bagi mengikuti majlis pengebumian lima sekeluarga itu.

Terdahulu, jenazah lima sekeluarga selesai dituntut dan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Kampung Mengkibol di sini, pada jam 10.50 pagi tadi.

AHLI keluarga mengaminkan doa ketika pengebumian jenazah Allahyarham Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain dan isterinya, Allahyarhamah Zinnirah Abdul Hamid, 28, serta tiga anaknya, Nur Magfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4 dan Nur Alia Humairah, tiga bulan, di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan, Kluang. - Foto Hairul Anuar Rahim

AHLI keluarga dan saudara melihat jenazah Allahyarham Abdul Hamid, 28 dan anak bongsunya, Nur Alia Humairah, tiga bulan yang terbabit dalam kemalangan maut di kediaman keluarga di Kampung Mengkibol, Kluang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Semua jenazah dibawa menaiki dua kereta jenazah sebaik proses bedah siasat dan memandikan mayat selesai dilakukan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, kereta dinaiki enam sekeluarga terbabit yang dalam perjalanan dari Muadzam Shah, Pahang ke Kluang, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.

Kemalangan itu menyebabkan Muhamad Abu Dujanah, Zinnirah, Nur Magfirah, Muhammad Abu Ajwad, dan Nur Alia Humairah, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi anak mereka, Nur Ghaziyah Athirah, 3, kini dilaporkan kritikal dan masih mendapatkan rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan kerana parah akibat kemalangan berkenaan.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Dzulkrinain Yusoh, 55, berkata beliau reda dengan pemergian anaknya sekeluarga dan berharap kejadian itu dapat menjadi iktibar untuk semua.

"Saya tidak nampak perubahan pada anak saya tetapi rakannya ada memberitahu Muhamad Abu Dujanah teruja pergi bercuti bersama keluarga di Kuala Lumpur, Sabtu lalu," katanya.

JENAZAH Allahyarham Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain dan isterinya, Allahyarhamah Zinnirah Abdul Hamid, 28, serta tiga anaknya, Nur Magfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4 dan Nur Alia Humairah, tiga bulan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan, Kluang. - Foto Hairul Anuar Rahim
AHLI keluarga dan saudara melihat jenazah Allahyarham Abdul Hamid, 28 dan anak bongsunya, Nur Alia Humairah, tiga bulan yang terbabit dalam kemalangan maut di kediaman keluarga di Kampung Mengkibol, Kluang. - Foto Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X