Rabu, 13 Disember 2017 | 8:54pm
PELAJAR Kolej Vokasional Slim River, Muhammad Muzakkir Noradnan,19, maut akibat melanggar belakang lori simen di Jalan Behrang Ulu-Tanjung Malim petang tadi. - Foto Rosman Shamsudin

Pelajar maut motosikal rempuh lori simen

BEHRANG: Seorang pelajar maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah lori simen yang berhenti di bahu jalan di Jalan Behrang Ulu-Tanjung Malim, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, mangsa Muhammad Muzakkir Noradnan, 19, yang juga pelajar Kolej Vokasional Slim River, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintandan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu lori simen berkenaan berhenti seketika di bahu jalan berkenaan bagi memeriksa lori itu yang dipercayai rosak.

Katanya, ketika mahu menggerakkan lori berkenaan, pemandu berusia 33 tahun itu terdengar dentuman yang kuat dari arah belakang lori.

"Pemandu terbabit kemudian turun dari kenderaan bagi menyiasat bunyi berkenaan dan mendapati sebuah motosikal jenis Honda Wave terperosok di bawah lori bersama mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mangsa yang berasal dari Kampung Pasir Slim Village, di sini, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lintah Piong, jam 6 petang tadi.

Berita Harian X