X
Jumaat, 15 Disember 2017 | 4:43pm

Daesh: Juruteknik dihukum penjara tiga tahun

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik dihukum penjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 29 imej dan tiga video berkaitan kumpulan pengganas Daesh, Mac lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak terhadap Ahmad Taufiq Abdul Latif, 27, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa ke atasnya.

Mohd Sofian memerintahkan hukuman penjara terhadap Ahmad Taufiq berkuat kuasa dari tarikh tangkap, 15 Mac 2017.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata, walaupun imej dan video yang disimpan itu adalah untuk tontonan sendiri tetapi ia tetap menjadi kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 29 imej dan tiga video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh di dalam sebuah telefon bimbit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di persimpangan masuk ke Taman Sri Gadong, Jalan Bawal, Klang pada jam 2.40 petang, 15 Mac lalu. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item itu. 

Terdahulu, Ahmad Taufiq yang diwakili peguam Azamuddin Abd Aziz memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman rendah atas alasan anak guamnya menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kes itu selain hukuman yang dijatuhkan bukan saja harus menjadi pengajaran kepada tertuduh tetapi sebagai amaran untuk masyarakat.

Berita Harian X