Ahad, 17 Disember 2017 | 2:55pm
SUPERINTENDAN Mohamed Zulmazi Che Daud (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah jenis heroin, syabu dan pil kuda pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat. - Foto Siti Rohana Idris

Dua beradik ditahan edar dadah

TUMPAT: Dua beradik adalah antara tiga lelaki, yang ditahan awal pagi semalam kerana dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah.

Suspek berusia lingkungan 26 tahun hingga 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Belakang Stesen di Wakaf Bharu, di sini.

Penahanan suspek membawa kepada kejayaan rampasan dadah jenis heroin, syabu dan pil kuda bernilai RM41,082.50.

Pemangku Ketua Polis daerah Tumpat, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud, berkata ketika serbuan pada jam 2.15 pagi itu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, semua suspek sedang tidur di rumah dua tingkat itu.

"Dua suspek ditahan di tingkat bawah, manakala seorang lagi di sebuah bilik di tingkat atas.

"Pemeriksaan di bilik itu menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi dua pil berwarna kemerahan, disyaki pil kuda.

"Polis juga menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah seberat satu gram yang disembunyikan di bawah lantai papan kayu bilik," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Pemeriksaan di sebuah garaj di hadapan rumah, polis menemui 19 botol plastik cerah yang mengandungi serbuk putih disyaki heroin.

Mohamed Zulmazi berkata, polis turut merampas satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 43.75 gram dan wang tunai berjumlah RM730.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati seorang suspek yang berusia 30 tahun baru dibebaskan dari penjara di Thailand, Julai lalu, selepas dipenjarakan selama tiga tahun atas kesalahan dadah.

Suspek itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan Wakaf Bharu kira-kira tiga hingga empat bulan lalu, manakala Tumpat dan Thailand dalam tempoh tiga tahun.

"Ujian saringan mendapati dua daripada mereka positif Methampethamine dan semua mereka ditahan reman selama seminggu bermula semalam," katanya.

Berita Harian X