X
Selasa, 19 Disember 2017 | 3:05pm
TUN Md Raus Sharif. - Foto fail NSTP
TUN Md Raus Sharif. - Foto fail NSTP

Mahkamah Tinggi tolak permohonan cabar pelantikan Md Raus

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Tun Md Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dan hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datin Azizah Nawawi menolak permohonan itu berdasarkan alasan bahawa isu membabitkan pelantikan berkenaan tidak boleh dipertikaikan di mahkamah kerana ia dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan ketika ditemui pemberita selepas prosiding dalam kamar hakim, berkata mahkamah juga memutuskan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu tidak memenuhi peruntukan undang-undang.

Suzana yang mewakili Md Raus selaku responden, berkata hakim kemudian memerintahkan Abang Ahmad Kerdee membayar kos RM5,000.

Pemimpin parti pembangkang itu memfailkan permohonan pada 1 November lalu.

Ia bagi menuntut perisytiharan bahawa pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos 2017 mengikut Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Beliau yang diwakili peguam, Mohamed Hanipa Maidin, memohon kebenaran untuk mendapatkan 'Writ Quo Warranto' supaya Md Raus menunjukkan sebab dan memberikan pengesahan bagaimana serta asas beliau memegang jawatan berkenaan.

Abang Ahmad Kerdee turut memohon perintah mahkamah bagi membatalkan pelantikan Md Raus, selain perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas beliau.

Berita Harian X