Rabu, 20 Disember 2017 | 7:35pm
IBU Mangsa, Rohayu Rahmat, 61, yang pengsan selepas mengetahui mayat anaknya Muhamad Rohim Rohani, 35, ditemui oleh nelayan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pantai Puteri, Tanjung Kling. - Foto Rasul Azli Samad
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengusung mangsa yang ditemui lemas, Muhamad Rohim Rohani, 35, yang dilaporkan hilang di laut dan ditemui oleh nelayan di Pantai Puteri, Tanjung Kling. - Foto Rasul Azli Samad

Kerana sebiji bola...

MELAKA: Kesungguhan mendapatkan bola hanyut menjadi pengakhiran menyayat hati bagi seorang kontraktor syarikat telekomunikasi apabila ditemui lemas di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini.

Mohammad Rohim Rohani, 35, dari Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor, memancing bersama adik iparnya, Mohd Hadi Tajudin, 34, sambil berkelah bersama 12 ahli keluarga sebelum cuba menyelamatkan bola milik anak saudaranya yang dihanyutkan ombak.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Mohammad Rohim dikatakan turun ke pantai untuk mengambil bola berkenaan sebelum tenggelam.

Mayat mangsa ditemui tersangkut di bot nelayan kira-kira 400 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

Mohd Hadi berkata, mangsa meninggalkan tempat memancing dan turun ke pantai untuk mengambil bola milik anak saudaranya yang dihanyutkan ombak sebelum dilihat tenggelam.

"Rombongan kami tiba di Pantai Puteri semalam dan sepatutnya pulang esok," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba, Roslan Jalil berkata, pihaknya bersama jentera bomba dari BBP Tangga Batu dan BBP Jalan Kubu serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 pagi.

Katanya, operasi berkenaan turut dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

2749 dibaca
Berita Harian X