Khamis, 21 Disember 2017 | 1:10pm
NUR Ghaziyah Athirah masih menerima rawatan di wad ICU Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. - Foto Ihsan Keluarga

Nur Ghaziyah Athirah masih kritikal

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak yang terselamat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan ibu bapa dan tiga beradiknya, masih dalam keadaan kritikal.

Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 3, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan bergantung pada alat bantuan pernafasan.

Pengarah HSA, Dr Aman Rabu, berkata doktor pakar masih berusaha menstabilkan kanak-kanak itu sebelum menjalankan sebarang pembedahan terhadapnya.

"Demi kerahsiaan pesakit dan waris mangsa, kami tidak dapat mendedahkan secara terperinci. Setakat ini, pesakit masih dalam keadaan kritikal yang memerlukan rawatan rapi.

"Kanak-kanak itu belum stabil lagi untuk menjalani apa-apa pembedahan. Sama-sama kita berdoa," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang pada 12 Disember lalu, kenderaan dinaiki Nur Ghaziyah Athirah dan lima ahli keluarganya merempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan di Kilometer 176 berhampiran Kampung Melayu Raya, Segamat.

Kemalangan itu mengorbankan bapa Nur Ghaziyah Athirah, Allahyarham Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain dan ibunya, Allahyarhamah Zinnirah Abdul Hamid, 28, serta tiga adik-beradiknya, Nur Magfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4 dan Nur Alia Humairah, tiga bulan.

Sementara itu, 100 kanak-kanak di wad pediatrik HSA menerima hamper sumbangan Ahli Lembaga Pelawat HSA dan orang perseorangan.

Sumbangan untuk kanak-kanak berkenaan adalah acara tahunan sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu.

Ia disampaikan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Chia Song Cheng yang juga Pengerusi MCA Bahagian Pulai.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X