Ahad, 24 Disember 2017 | 3:47pm
KERETA remuk selepas melanggar belakang sebuah lori di KM20, Jalan Apas, Tawau. - Foto ihsan PDRM.
SEORANG pekerja ladang kayu maut dalam kemalangan di Kilometer 20, Jalan Apas, dekat sini, 8.35 pagi tadi. - Foto ihsan PDRM.

Buruh maut kereta langgar lori

TAWAU: Seorang buruh ladang kayu Sabah Softwood maut, selepas kereta dipandunya melanggar lori yang membuat pusingan-U secara tiba-tiba di Kilometer 20, Jalan Apas, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.35 pagi itu, mangsa berumur 25 tahun yang memandu kereta jenis Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang penumpang kereta itu yang juga rakan sekerja mangsa, berumur 30 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata pemandu lori berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kemalangan berlaku selepas lori dari arah bandar Tawau menuju ke Balung berhenti seketika di susur jalan sebelah kiri, sebelum membuat pusingan-U untuk berpatah balik ke arah bandar Tawau.

Katanya, mangsa yang berada di jalan utama dari arah Balung ke bandar Tawau, gagal mengelak lori terbabit lalu merempuh bahagian belakang tepi sebelah kanan, sebelum terbabas ke susur jalan sebelah kiri.

"Berikutan pelanggaran itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang mengalami kecederaan ringan dan dihantar hospital," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori itu.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X