Khamis, 28 Disember 2017 | 5:07pm
KEADAAN ambulans yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 57, berhampiran Kalumpang, Tawau. - Foto Nasrawati Syarifuddin
Keadaan ambulans yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 57, berhampiran Kalumpang, Tawau.- Foto Nasrawati Syarifuddin

Tiga kakitangan hospital cedera, ambulans terbabas

TAWAU: Tiga kakitangan Hospital Semporna cedera apabila ambulans dinaiki mereka bersama seorang doktor terbabas di Kilometer 57 Jalan Tawau-Semporna, malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, ambulans yang dinaiki mereka sedang dalam perjalanan dari Hospital Tawau menuju ke Hospital Semporna.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata setiba di tempat kejadian, ambulans dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu terjatuh ke bawah tebing jalan sebelah kiri, arah jalan menuju ke Semporna.

"Akibat kemalangan itu pemandu mengalami patah tulang punggung dan tulang bahu kiri, jururawat patah tulang belakang dan luka di kepala, manakala pembantu perubatan (MA) mengalami luka di bahagian dahi," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut, manakala seorang doktor yang duduk di bahagian hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Fadil berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu ambulans yang gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas.

"Pemandu ambulans bagaimanapun tidak disyaki mabuk dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X