Khamis, 28 Disember 2017 | 11:45pm

14 unit asrama pondok hangus

KOTA BHARU: Sebanyak 14 unit asrama Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, di sini, hangus dalam kebakaran pada jam 7.45 malam tadi.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Pondok yang menempatkan 24 pelajar, termasuk seorang warga emas itu hangus sekelip mata berikutan binaannya yang diperbuat daripada kayu.

Kakitangan madrasah, Mohammad Hanif Mohd Razali, 28, berkata ketika kejadian, semua pelajar baru sedang membaca surah Yasin, selepas solat Maghrib.

"Kebakaran disedari seorang pelajar yang berada di saf paling hujung, yang ternampak cahaya melalui tingkap sebelum berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku.

"Tidak lama selepas itu, kedengaran suaranya menjerit `api'. Saya terus melaungkan azan, manakala pelajar lain berlari ke bawah untuk cuba menyelamatkan dokumen dan barang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Pelajar terbabit, Ahmad Faizzuddin Zulkifli, 18, berkata beliau terkejut apabila melihat sebuah unit asrama terbakar dan segera menjerit meminta tolong sambil berlari turun mencari air untuk memadamkan api.

"Kami sempat mengeluarkan beberapa kitab pengajian, manakala barangan lain hangus termasuk sebuah motosikal milik seorang pelajar," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Kanan Bomba 2, Hussin Ab Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.50 malam dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.

"Seramai 29 anggota dari Balai Tunjong, Darulnaim dan Ketereh tiba di lokasi dengan empat jentera," katanya.

2751 dibaca
SEBAHAGIAN anggota bomba memantau kawasan pondok yang musnah membabitkan 14 unit pondok pada jam 7.45 malam tadi di Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN pelajar melihat api yang sedang marak dalam kejadian kebakaran 14 unit pondok di Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Kota Bharu jam 7.45 malam tadi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X