Jumaat, 29 Disember 2017 | 1:15pm
KEADAAN Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Kota Bharu yang musnah dalam kejadian kebakaran pada jam 7.45 malam semalam.- Foto Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN pelajar pondok mencari barangan yang masih boleh digunakan termasuk kitab selepas kejadian kebakaran membabitkan 14 unit Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
DR Nik Mohd Azlan (kanan) memberi sumbangan wang tunai kepada Murdir Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Mohd Jalaluddin Asayuti Mohamed selepas kejadian kebakaran membabitkan 14 unit Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kebakaran mungkin akibat litar pintas

KOTA BHARU: Kebakaran Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir malam tadi, dipercayai berpunca daripada litar pintas, berikutan sistem pendawaian lama di bangunan terbabit.

Mudirnya, Mohd Jalaludin Hasayuti Mohamad, 49, berkata kali terakhir sistem pendawaian pondok berusia 37 tahun itu diselenggarakan pada 1990-an.

Beliau berkata, hanya 24 pelajar berusia 13 hingga 60 tahun ditempatkan di pondok binaan kayu itu, sementara pelajar lain tinggal di bilik asrama tiga tingkat yang baru dibina beberapa tahun lalu.

"Semua pelajar yang terbabit dalam kebakaran itu tinggal di asrama tiga tingkat bersama-sama 110 pelajar lelaki lain, memandangkan bangunan itu masih banyak kosong.

"Berikutan kejadian malam tadi, kita anggarkan sebanyak RM30,000 kerugian dialami merangkumi pakaian, kitab dan bangunan, tambahan pula pelajar ketika ini tinggal sehelai sepinggang.

"Kejadian ini pertama kali berlaku sejak pondok mula dibuka pada 1980 dan kemungkinan berpunca daripada sistem pendawaian lama," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Azlan Abdul Hadi menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM54,000 untuk baik pulih pondok, termasuk RM24,000 kepada mangsa yang terbabit dalam kebakaran itu.

BH Online semalam melaporkan 14 unit pondok Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir hangus dalam kebakaran pada jam 7.45 malam, namun tiada sebarang kemalangan jiwa.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Ismail Idris, ketika dihubungi berkata, punca kebakaran pondok terbabit masih dalam siasatan.

"Buat masa ini, kita masih melakukan siasatan dan kita tidak mahu membuat andaian awal selagi siasatan belum selesai," katanya.

688 dibaca
Berita Harian X