Ahad, 31 Disember 2017 | 4:54pm
KIM Jong Nam.

Sorotan kes jenayah, tragedi gempar 2017

KUALA LUMPUR: Pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un ketika menunggu penerbangan ke Macau di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu, antara kes menggemparkan pada 2017.

Lebih menarik perhatian apabila siasatan mendapati Jong Nam atau Kim Chol, 46, dibunuh menggunakan sejenis cecair kimia iaitu ejen saraf VX yang menyebabkan mangsa mati keracunan akut.

Dua wanita, masing-masing warga Indonesia dan Vietnam iaitu Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, disyaki menyapu cecair itu pada muka Jong Nam selepas diberikan latihan 'prank' kononnya untuk satu rancangan televisyen diselia empat lelaki warga Korea Utara yang masih bebas.

Kes itu bukan saja menyebabkan negara menjadi tumpuan pengamal media seluruh dunia malah menimbulkan ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.

TRAGEDI kebakaran asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur.

Tragedi terus menggamit sejarah negara apabila kita digemparkan dengan insiden menyayat hati membabitkan 21 pelajar dan dua guru yang maut selepas asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur sengaja dibakar pada 14 September lalu.

Bagaimanapun, kecekapan pasukan polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan tidak sampai 48 jam selepas kejadian berlaku, dengan tertangkapnya tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun yang mendalangi kejadian.

Siasatan mendapati balas dendam dipercayai menjadi motif utama mereka membakar pusat tahfiz berkenaan, sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh masyarakat Malaysia.

Sementara itu, pada 18 Februari lalu, lapan remaja yang sedang bermain 'basikal lajak' berusia antara 13 hingga 17 tahun maut, manakala lapan lagi cedera akibat dirempuh kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor.

Tragedi seterusnya membabitkan tujuh kanak-kanak yang lemas ketika menangguk ikan di anak Sungai Selangor berhampiran Kampung Timah, Kuala Kubu Bharu, Selangor, 17 Mac lalu.

Pada 2 Jun lalu pula, tujuh pelajar tahfiz berusia 15 hingga 17 tahun maut selepas van dinaiki terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai, Kelantan.

Selain jenayah dan tragedi, ancaman pengganas termasuk Daesh antara kes yang mendapat perhatian termasuk cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan Perbarisan Hari Kebangsaan Ke-60 di Dataran Merdeka.

Dalam operasi khas antara 4 Julai hingga 30 Ogos lalu, polis menahan suspek utama perancang serangan itu, seorang rakyat Filipina berumur 25 tahun, yang juga anggota Kumpulan Pengganas Abu Sayyaf (ASG) bersama seorang lagi warga Filipina dan enam rakyat tempatan berumur antara 20 hingga 52 tahun.

Ancaman Daesh masih berlarutan namun kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekang ancaman berkenaan termasuk menahan tiga suspek termasuk seorang pelajar tingkatan enam yang merancang mengebom Festival Better Beer 2017 di Lembah Klang dalam serbuan di Kelantan, 10 Oktober lalu.

Kes buli sehingga menyebabkan kematian turut menjadi tumpuan yang menggemparkan seluruh negara pada 2017.

Jun lalu, berita kematian pelajar T Nhaveen dan Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain membuka mata pelbagai pihak mengenai isu buli dan dera dalam kalangan pelajar di negara ini yang semakin membimbangkan.

Nhaveen, 18, dibuli dan dipukul dengan kejam oleh sekumpulan remaja di Jalan Kaki Bukit, Georgetown, Pulau Pinang, sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur, dan meninggal dunia selepas lima hari koma di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang.

KADET Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain (tengah).

Kes kematian Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, akibat didera oleh beberapa rakan universiti selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya pula menimbulkan persoalan tahap keselamatan di institusi pengajian tinggi.

Penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Elektrik itu meninggal dunia di Hospital Serdang dengan kesan lebam dan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap.

Susulan itu, polis menahan 36 penuntut UPNM dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) tetapi, hanya 19 penuntut UPNM didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Belum sempat reda kes di UPNM, negara dikejutkan pula dengan kes kematian dua anggota pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sungai Wangi, Sitiawan, Perak, dipercayai didera tiga anggota sepasukannya pada 1 Oktober lalu.

Bedah siasat mendapati, kematian LK1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma objek tumpul pada tisu lembut.

Dalam pada itu, kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan rumah mampu milik setinggi 50 tingkat di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu sehingga mengorbankan seorang pekerja rakyat tempatan dan 13 pekerja warga asing turut menggemparkan negara.

Pada 25 Oktober lalu pula, lapan wanita pekerja kilang maut manakala 35 lagi cedera selepas dua buah bas kilang dan sebuah van pekerja terbabit nahas di Kilometer 147 (KM 147) Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Tol Juru, Pulau Pinang.

Pembunuhan ngeri membabitkan empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak di Tanjung Sepat, Banting, Selangor, pada 13 Disember lalu menutup tirai kalendar jenayah 2017.

Pada awalnya, Lim Mai Shak, 68; Chia Tee Nang, 73, dan dua cucu mereka, Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi, masing-masing berusia tiga dan 10 tahun disangka mati akibat kebakaran namun, siasatan polis membongkar sebaliknya apabila mereka didapati dibunuh sebelum kediaman mereka dibakar.

Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami cacat pendengaran dan pertuturan berusia 38 tahun ditahan selepas dipercayai mendalangi kejadian itu.

SUSPEK bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat dibawa ke lokasi kejadian. - Foto ihsan pembaca

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X