Isnin, 1 Januari 2018 | 10:41am

Remaja pamer plat 'Happy New Year 2018'

IPOH: Seorang remaja berusia 17 tahun ditahan dalam Ops Trafik di sini, selepas didapati melakukan kesalahan menggunakan nombor plat 'Happy New Year 2018' pada motosikalnya.

Remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Mugesh itu memberikan alasan dia menukar nombor platnya hanya sekadar suka-suka, disebabkan mahu menyambut ambang tahun baru bersama rakan-rakannya.

"Saya buat nombor plat ini dengan harga RM17 dan saja suka-suka sebab hendak sambut tahun baharu dengan kawan-kawan, bukan ada niat lain.

"Ini kali pertama saya ditahan, saya dah serik untuk ulangi kesalahan sama," katanya ketika ditemui selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Jalan Chamberlain, di Ipoh, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 10 malam dan berakhir jam 5 pagi dilakukan pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di dua tempat berasingan, iaitu di Falim dan Jalan Kledang Utara.

Dalam operasi itu, seorang inspektor polis berusia 28 tahun cedera di bahagian muka, kedua tapak tangan dan kaki kiri selepas dirempuh sekumpulan mat rempit, ketika menjalankan operasi berkenaan di Jalan Kledang Utara berhampiran sebuah stesen minyak.

Sementara itu, Ketua JSPT negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata operasi itu membabitkan 11 pegawai dan 60 anggota JSPT negeri selain, seorang pegawai dan 15 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri.

Katanya, dalam operasi itu pihaknya menahan 30 penunggang motosikal, manakala 23 motosikal disita atas pelbagai kesalahan trafik.

"Daripada jumlah penunggang yang ditahan, sebanyak 117 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Dua daripada penunggang ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu, manakala tiga motosikal ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya pada sidang media di IPD Ipoh, Jalan Chamberlain, di sini hari ini.

Dalam operasi itu, Wan Jamil berkata, pihaknya turut mengesan tiga lelaki yang didapati positif dadah jenis ganja dan ditahan untuk siasatan lanjut.

WAN Jamil (kanan) menunjukkan nombor plat 'Happy New Year 2018' pada motosikal. - Foto Farah Suhaidah Othman
Berita Harian X