Isnin, 1 Januari 2018 | 10:53am

'Matikan diri' 45 minit elak dicekup JAIM

MELAKA: Cubaan sepasang kekasih 'mematikan diri' selama kira-kira 45 minit di dalam bilik hotel tidak kesampaian apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Op Ambang Tahun Baharu, di bandar raya ini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pasangan kekasih masing-masing berusia 24 tahun itu pada awalnya langsung tidak memberikan kerjasama ketika pegawai dan anggota penguat kuasa JAIM cuba memberikan salam serta mengetuk pintu bilik hotel bajet bagi tujuan semakan.

Bagaimanapun, selepas kira-kira 45 minit menunggu di depan bilik termasuk cuba menggunakan kunci pendua akhirnya pasangan dari Kuala Lumpur itu mengalah dan membuka pintu bilik penginapan.

Pengarah JAIM, Md Azhan Samat, berkata dalam operasi selama lima jam yang berakhir jam 4.30 pagi itu, seramai 18 individu atau sembilan pasangan bukan muhrim ditahan membabitkan pemeriksaan di tiga hotel bajet di kawasan Semabok, Ujong Pasir dan Bukit Baru, di sini.

"Kesemua 18 individu yang ditahan ini berusia 22 tahun hingga 43 tahun, termasuk seorang lelaki warga Bangladesh dan pasangan wanitanya warga Indonesia.

"Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung dan mendatangkan syak dan khalwat," katanya pada sidang media di pejabat JAIM, Bukit Palah, di sini, pagi ini.

Yang hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani.

Operasi itu turut membabitkan penyertaan seramai 18 pegawai dan anggota penguat kuasa JAIM.

Dalam pada itu, Md Azhan percaya pihaknya mungkin boleh menahan lebih ramai pasangan bukan muhrim di negeri ini pada sambutan tahun baharu sekiranya penguatkuasaan dibuat di lebih banyak hotel di sekitar bandar raya ini.

"Walaupun hanya menjalankan operasi di tiga hotel sahaja, kita berjaya menahan seramai sembilan pasangan bukan muhrim yang bersekedudukan di dalam bilik dalam keadaan mencurigakan.

"Sebenarnya di awal sambutan ambang tahun baharu malam tadi, JAIM sudah menganjurkan program Street Dakwah bagi tujuan pendidikan kepada pasangan bukan muhrim dan belia supaya mereka tidak terbabit gaya hidup bebas," katanya.

PASANGAN yang ditahan selepas ditahan anggota Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) cuba membuka pintu pada Op Ambang Tahun Baru di Bukit Baru. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ANTARA pasangan yang ditahan anggota Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) cuba membuka pintu pada Ops Ambang Tahun Baru di Bukit Baru. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
PASANGAN yang ditahan selepas 45 menit anggota Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) cuba membuka pintu pada Op Ambang Tahun Baru di Bukit Baru. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X