Selasa, 2 Januari 2018 | 2:12pm
SATU daripada enam buah kampung di kawasan Penangah, Tongod, di Sandakan dilanda banjir kilat. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

2 sekolah terjejas banjir di Tongod

TONGOD: Seramai 286 murid dari dua sekolah rendah di Tongod tidak dapat memulakan hari pertama sesi persekolahan berikutan laluan dan kawasan sekolah terjejas akibat banjir.

Dua sekolah rendah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Keramuak dan SK Inarad, di Tongod. 

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul, berkata SK Keramuak membabitkan 16 guru dan 197 murid, manakala di SK Inarad membabitkan 11 guru serta 89 murid. 

"Sesi persekolahan sepatutnya bermula hari ini tidak dapat dilaksanakan kerana laluan dan kawasan sekolah dinaiki air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, hujan lebat sejak kelmarin menyebabkan beberapa kawasan di Tongod dinaiki air sehingga menyebabkan dua sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Telupid terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Pegawai Daerah Tongod, Robert Stidi, berkata keadaan banjir di lima buah kampung di daerah itu sudah surut.

"Sebuah pusat pemindahan sementara yang masih beroperasi di Tongod iaitu Dewan Kampung Pinangah, juga sudah ditutup pada jam 1 tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi BH, di sini sebentar tadi.

Petang kelmarin, seramai 393 penduduk Kampung Penangah, Tongod, Kinabatangan, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan banjir kilat sejak jam 2 petang.

Berita Harian X