Rabu, 3 Januari 2018 | 11:58am
Antara 10 penagih yang ditahan dalam serbuan AADK di lima lokasi sekitar Padang Terap awal pagi tadi. - Foto Ihsan AADK

3 beradik kantoi layan syabu

PADANG TERAP: Seorang lelaki berusia 23 tahun, bukan sahaja menjadikan rumah keluarganya sebagai 'port' melepaskan gian dadah, malah turut mengajak dua adik perempuannya untuk sama melayan ketagih syabu.

Kegiatan lelaki bersama dua adik perempuannya berusia 15 dan 19 tahun itu, terbongkar selepas kediaman mereka di Kampung Rambutan, di sini, diserbu sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kira-kira jam 4 pagi tadi.

Selain tiga beradik itu, turut melayan ketagih syabu di rumah sama ialah dua rakan mereka termasuk seorang daripadanya teman lelaki kepada remaja perempuan berkenaan yang dikatakan sudah sebulan bersekedudukan di premis itu.

Ketua Pegawai AADK Padang Terap, Zainal Abidin Ismail, berkata tiga beradik itu antara 10 disyaki penagih berusia antara 15 hingga 30 tahun yang ditahan dalam serbuan yang dijalankan di lima kawasan iaitu Kampung Rambutan, Kampung Barokhas, Kampung Tualak, Bukit Indin dan berek polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.


Dua beradik perempuan berusia 15 dan 19 tahun yang ditahan AADK ketika melayan syabu bersama abang kandung dan dua rakan di rumah mereka di Kampung Rambutan, Padang Terap, pagi tadi. - - Foto Ihsan AADK

"Kita menyerbu lima rumah yang disyaki dijadikan lokasi melepaskan gian dadah hasil aduan orang awam, melalui ops bermula jam 11 malam hingga 4.30 pagi itu, dengan 10 disyaki penagih yang ditahan kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah dan menganggur," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas kes membabitkan tiga beradik itu, katanya ketika serbuan ibu dan bapa mereka ada di rumah, namun lelaki terbabit dikesan sedang mengajar dua adik perempuannya melayan ketagih dadah.

"Hasil siasatan kita dapati lelaki itu tidak bekerja dan dia bersama dua adiknya dikatakan sudah tiga tahun terbabit dalam penagihan dadah.

"Mereka tinggal di rumah ibu bapa yang bekerja sebagai penoreh getah, malah remaja perempuan berusia 15 tahun itu juga sudah tidak bersekolah," katanya.

Zainal Abidin berkata, tiga beradik itu bersama tujuh penagih lain yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Padang Terap untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

Semua kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

5040 dibaca
Berita Harian X