Rabu, 3 Januari 2018 | 3:26pm
DUA anggota Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Sepang cedera apabila sebuah van dari arah belakang merempuh sebuah kereta ketika anggota polis tersebut sedang memberi bantuan kerana mengalami kerosakan di susur masuk ke Hotel Sama-Sama KLIA. - Foto Ihsan PDRM

2 polis cedera ketika bantu baiki kereta rosak

SEPANG: Dua anggota Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) cedera dirempuh ketika sedang membantu membaiki sebuah kenderaan rosak di Jalan CTA 2 di KLIA di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, Lans Koperal Abd Mutalip Ismail, 40, dan Lans Koperal Suzaili Mohd Marzuki, 31, cedera di kepala selepas sebuah van merempuh belakang kereta yang sedang dibaiki itu.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata kemalangan di susur masuk Hotel Sama-Sama ketika dua anggota trafik itu sedang membantu membaiki sebuah Suzuki Swift yang rosak.

"Secara tiba-tiba, datang sebuah van merempuh belakang kereta berkenaan menyebabkannya bergerak ke hadapan dan melanggar dua anggota trafik terbabit," katanya ketika dihubungi.

Kedua-dua anggota trafik itu kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

"Pemandu van berkenaan juga ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X