Khamis, 4 Januari 2018 | 3:32pm
KEADAAN murid berumur lapan tahun yang cedera selepas di langgar sebuah kereta yang sedang mengundur di sebuah sekolah di Jasin. - Foto Ihsan pembaca

Murid cedera dilanggar kereta mengundur

JASIN: Seorang murid lelaki Tahun Dua cedera di kepala dan anggota badan selepas dilanggar sebuah kereta yang dipercayai sedang mengundur di sebuah sekolah di daerah ini, pagi tadi.

Kemalangan jam 6.50 pagi itu berlaku ketika murid sebuah sekolah kebangsaan di sini, sedang berjalan dalam kawasan sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata siasatan awal mendapati, ketika kejadian pemandu kereta berusia 62 tahun yang juga pengawal keselamatan sekolah itu pada mulanya parkir di kawasan berhampiran bangunan sekolah.

"Sebaik pengawal keselamatan itu masuk ke dalam keretanya, dia mengundur dan memandu ke depan, sebelum seorang guru menjerit memintanya supaya memberhentikan kenderaan kerana seorang murid sudah dilanggar.

"Murid itu dilanggar ketika kereta sedang mengundur dan terseret apabila kenderaan itu bergerak ke depan," katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Sham berkata, mangsa yang dalam keadaan sedar kemudiannya dikejarkan ke Hospital Jasin untuk rawatan, sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

"Mangsa mengalami pendarahan di kepala dan beberapa kecederaan kecil di bahagian badan. Bagaimanapun, keadaannya dilaporkan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X