Khamis, 4 Januari 2018 | 5:36pm
MENTERI Kesihatan merangkap Persiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam (tengah) dan Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Timbalan Presiden MIC, Datuk P Kamalanathan (tiga kanan) beramah mesra bersama penerima sumbangan pada Program Back To School di Sekolah Jenis Kebangsaan Thamil (SJKT) Simpang Lima Kota Raja, Klang. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Banjir: 46 sekolah ditutup di enam negeri

KLANG: Sejumlah 44 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di enam negeri yang terbabit banjir, ditutup sehingga jam 2 petang tadi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata enam negeri yang terjejas dalam banjir kali ini adalah Kelantan, Johor, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Daripada jumlah berkenaan, 21 sekolah adalah di Pahang, 14 termasuk dua sekolah menengah di Sabah, lima di Terengganu, tiga di Johor dan sebuah sekolah di Kelantan, membabitkan seramai 11,768 pelajar.

"Semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diberi taklimat dan satu jawatankuasa sudah ditubuhkan untuk memantau keadaan banjir di sekolah yang terbabit di seluruh negara.

"JPN juga bekerjasama dengan Majlis Keselamatan negeri masing-masing untuk melakukan pemantauan serta memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kembali Ke Sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Simpang Lima, di sini, hari ini.

Kamalanathan berkata, sehingga kini, enam JPN dan 20 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terbabit dengan penutupan sekolah berkenaan.

"Saya juga menasihatkan ibu bapa supaya menghubungi pihak sekolah atau PPD untuk mendapatkan maklumat mengenai penutupan dan pembukaan semula sekolah," katanya.

Berita Harian X