Khamis, 4 Januari 2018 | 5:54pm
ACP Shamsul Amar Ramli. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Geng Muhibah Klang aktif menyamun tumpas

KLANG: Polis Klang Selatan percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun di daerah ini dengan penahanan tujuh lelaki anggota Geng Muhibah Klang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata semua suspek berusia 27 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar Klang, Pandamaran dan Shah Alam dalam tempoh 24 jam.

"Hasil siasatan mendapati enam daripada tujuh suspek mempunyai rekod jenayah. Ujian saringan awal mendapati keenam-enam suspek itu juga positif syabu.

"Suspek turut membuat pengakuan terbabit dengan kes samun di sebuah Tokong Cina semalam. Ada antara mereka juga mengaku menerima dan menyimpan barang hasil samun, selain terbabit dalam beberapa kes jenayah itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, polis merampas pelbagai hasil samun termasuk tiga kenderaan, masing-masing sebuah Toyota Innova, PERODUA Myvi dan motosikal Yamaha Nouvo LC.

"Yang turut dirampas, sebuah 'waterjet' jenama Wisen, sebuah gerudi tanpa wayar jenama Ryobi, dua alat pengisar jenama Bosch, dua televisyen jenama Sony dan tiga telefon bimbit jenama Samsung," katanya.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat susulan beberapa kes samun, termasuk di sebuah rumah yang dijadikan tokong pada jam 10.30 pagi semalam.

"Selepas kes itu, kami terus bertindak atas maklumat risikan dan membuat tangkapan bermula tengah malam tadi," katanya.

Mangsa dalam kes samun di rumah yang dijadikan tokong itu, katanya, berusia 45 tahun dan bekerja sebagai peniaga buah-buahan.

"Lelaki itu memaklumkan beliau bersama isteri dan dua anak berada di ruang tamu rumah di Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang sebelum didatangi dua suspek bersenjatakan parang.

"Pengadu tidak melawan dan membiarkan suspek mengambil barang miliknya seperti sebuah Toyota Innova, sebuah motosikal Yamaha Nuovo LC, wang tunai RM1,000, dua telefon bimbit serta dokumen diri ahli keluarganya," katanya.

Dalam kes lain, katanya, seorang tukang masak membuat laporan polis mengenai kejadian samun ketika berada di kedai makan di Pelabuhan Klang, kira-kira jam 7.10 pagi semalam.

"Pengadu didatangi dua suspek bersenjatakan sebilah parang sebelum mengikat tangannya dengan tali kabel. Suspek melarikan sebuah Honda City, wang tunai RM80, sebuah telefon bimbit serta syiling," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X