Khamis, 4 Januari 2018 | 10:02pm
MAYAT mangsa ditemui dalam dalam kebun durian, dekat Kampung Rawang Putar, Batang Kali. - Foto ihsan Bomba

Duda hilang ditemui mati

HULU SELANGOR: Seorang duda yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak 1 Januari lalu ditemui mati dalam kebun durian, dekat Kampung Rawang Putar, Batang Kali, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata mayat Nizam Talib, 41, dijumpai pada jam 3 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat yang menjalankan operasi selepas menerima laporan daripada ahli keluarganya.

Katanya, mayat mangsa ditemui masih berpakaian lengkap tetapi sudah mulai mereput.

"Mangsa yang juga bapa tunggal kepada seorang anak dikatakan keluar sendirian menunggang motosikal pada jam 7 malam untuk mengambil pucuk paku dan tidak pulang sejak itu.

"Anak saudara mangsa kemudian keluar mencarinya pada jam 7 pagi tadi dan menemui motosikal mangsa di kebun terbabit sebelum melaporkannya kepada polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebelum berjaya menemui mayat mangsa terbaring di dalam semak.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada jam 12.11 tengah hari menggerakkan 12 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, pencarian dimulakan pada jam 1.15 petang dalam lingkungan satu kilometer daripada lokasi motosikal mangsa ditinggalkan.

"Seramai seramai 17 anggota terdiri daripada bomba, polis dan APM serta dibantu orang awam membantu mencari mangsa dengan dipecahkan kepada tiga kumpulan.

"Mayat mangsa berjaya ditemui di kawasan kebun durian, kira-kira 700 meter dari lokasi motosikalnya," katanya.

Berita Harian X