Khamis, 4 Januari 2018 | 11:50pm

3 minit, larikan 6 dulang emas

SEREMBAN: Sekumpulan lapan perompak, seorang bersenjatakan senapang patah, melarikan sejumlah barang kemas dari sebuah kedai di sebuah pusat beli-belah di Kemayan Square, di sini, kira-kira jam 8.30 malam ini.

Difahamkan, kumpulan suspek yang memakai topi keledar penutup muka menyerbu premis berkenaan sambil mengacukan senjata api kepada pekerja serta pengawal keselamatan kedai.

Saksi yang enggan dikenali mendakwa, perompak kemudian memecahkan rak pameran kaca menggunakan tukul dan melarikan kira-kira enam dulang barang kemas.

"Ketika kejadian, tiada pelanggan di kedai berkenaan yang terletak di tingkat bawah dan berhampiran pintu masuk kompleks beli-belah.

"Suspek mengambil masa kira-kira tiga minit sebelum melarikan diri," katanya di sini, malam ini.

Difahamkan, seorang daripada suspek meninggalkan selaras senapang patah tidak jauh dari kedai terbabit sebelum mereka melarikan diri menaiki motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, ketika ditemui di tempat kejadian berkata akan mengadakan sidang media esok.

SEKUMPULAN perompak melarikan sejumlah barang kemas dari sebuah kedai di sebuah pusat beli-belah di Kemayan Square, di Seremban, malam ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin
ANGGOTA polis memeriksa senjata yang dipercayai digunakan dalam rompakan. - Foto Hasriyasyah Sabudin
ANGGOTA polis memeriksa kesan rompakan di kedai emas di Kemayan Square, Seremban. - Foto Hasriyasyah Sabudin
ANGGOTA polis memeriksa kesan rompakan di kedai emas di Kemayan Square, Seremban. - Foto Hasriyasyah Sabudin
Berita Harian X