Sabtu, 6 Januari 2018 | 1:21pm
PDRM logo

Pelajar meninggal dunia selepas terjatuh dalam kolam renang

MUAR: Seorang pelajar Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bakri, meninggal dunia kira-kira 12 jam selepas terjatuh ke dalam kolam renang sekolah berkenaan, petang semalam.

Lukman Al-Hakim Mohamad Hairil, 16, dari Saleng, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata mangsa terjatuh ke dalam kolam berkenaan kira-kira jam 5 petang semalam ketika mahu mengambil bola yang terjatuh ke dalam kolam itu.

Sebelum itu, katanya, pelajar terbabit sedang bermain bola tampar bersama sekumpulan rakannya apabila bola terjatuh ke dalam kolam berdekatan.

"Ketika mangsa cuba mengambil bola itu, dia tiba-tiba terjatuh ke dalam kolam sedalam kira-kira 2.7 meter berkenaan sebelum rakan serta pengawal keselamatan menyelamatkannya.

"Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan namun, disahkan meninggal dunia jam 4.30 pagi tadi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

3109 dibaca
Berita Harian X