Isnin, 8 Januari 2018 | 5:47pm
SEBAHAGIAN 35 lelaki yang berumur antara 26 hingga 53 tahun yang ditangkap dalam operasi Ops Sarang di Kampung Tujoh, Tumpat pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

35 'mat gian' terperangkap dalam 'bangsal cacing'

TUMPAT: Berselindung di sebalik imej berkain pelikat dan berbaju Melayu sambil mengayuh basikal, tiada siapa menyangka individu itu dalam perjalanan mendapatkan bekalan dadah.

Bagaimanapun suspek berusia 40-an itu ditahan bersama 30 penagih dan lima pengedar dadah dalam serbuan di sebuah bangsal yang dijadikan sebagai lokasi mendapatkan bekalan dadah di Kampung Tujoh, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat sempena Ops Sarang yang bermula jam 6 pagi hingga tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata serbuan dibuat berdasarkan risikan sejak beberapa hari lalu, terhadap pondok dikenali sebagai 'bangsal cacing' dalam kalangan penagih dadah.

"Operasi itu bermula jam 6 pagi, di mana anggota kami menahan beberapa kelompok penagih yang tiba dalam masa berasingan untuk mendapatkan bekalan dadah.

"Dalam serbuan itu seramai 30 penagih, seorang pembekal dan lima pengedar ditahan yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 53 tahun," katanya ketika sidang media di IPD Tumpat, hari ini.

Turut dirampas empat botol plastik bertudung kuning mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 17.89 gram dan 56 butir pil kuda dengan nilai pasaran keseluruhan dianggarkan bernilai RM8,750.

Ab Rashid berkata, semua yang ditahan memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan hasil saringan positif dadah jenis Opiat dan Methampethamine.

"Semua penagih ditahan reman selama tiga hari manakala lima pengedar pula selama seminggu bermula hari ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa kepada hukuman mati mandatori," katanya.

729 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »