Khamis, 11 Januari 2018 | 8:06pm
KEDAI haiwan peliharaan, Imadi Pet di Seksyen 14, Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

`Tiada kucing yang terabai'

SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyerbu sebuah kedai haiwan peliharaan di Seksyen 14, Shah Alam, semalam ekoran dakwaan terdapat kucing di bawah jagaan mereka diabaikan.

Dakwaan kucing di situ diabaikan dan dibiarkan sehingga dijangkiti virus serta tidak diberikan makanan dengan cukup, viral di media sosial.

Lebih 20 anggota dari jabatan berkenaan terbabit dalam pemeriksaan di cawangan kedai haiwan peliharaan, Imadi Pet cawangan Shah Alam, dari jam 11 pagi tadi dan berakhir pada 6.30 petang.

Bagaimanapun, tiada kucing yang dibawa keluar dari premis berkenaan selepas pemeriksaan di bangunan tiga tingkat itu selesai.

Seorang pegawai JPV yang enggan dikenali, berkata tiada sebarang kes salah laku kucing yang ditemukan sepanjang pemeriksaan dilakukan di permis terbabit.

"Kami memerlukan bukti yang kukuh bagi membuktikan kucing di sini diabaikan. Jika ada, baru boleh dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

"Namun, sepanjang pemeriksaan tadi, tiada sebarang kes yang direkodkan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Imadi Pet cawangan Shah Alam, Zaidi Musa, berkata pegawai dan kakitangan JPV datang ke kedai itu berdasarkan aduan yang dibuat.

"Sepanjang pemeriksaan ke atas 500 ekor kucing di premis ini, tiada sebarang kucing yang dirampas atau kesalahan yang dinyatakan.

"Kita sudah memberi kerjasama penuh sepanjang pemeriksaan dibuat," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan berkenaan bukan kali pertama dilakukan di premis berkenaan berikutan JPV pernah menerima aduan berlaku perbuatan zalim terhadap kucing di kedai berkenaan sebelum ini.

"Kami mengambil pendirian untuk berdiam diri berikutan apa yang kami buat dan cakap semua akan dipertikaikan oleh masyarakat. Kita sudah buat apa yang sepatutnya pada kucing di sini.

"Kucing di sini semua diberi makan mengikut jadual yang sudah ditetapkan. Seperti manusia, semua kucing ini juga perlu mendapatkan makanan secukupnya bagi mendapatkan berat ideal.

"Tetapi masyarakat selalu fikir apabila kucing itu gemuk, ia dianggap sebagai simbol comel walaupun kucing berkenaan boleh menghidapi penyakit obsesiti sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan pengurusan kedai haiwan peliharaan itu menyangkal dakwaan yang tersebar di media sosial, yang mengatakan kucing di situ tidak diberikan makanan serta dikurung dalam tempat sempit.

Pada 19 September lalu, Syarikat Imadi Pet Global Sdn Bhd diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berikutan terdapat dakwaan kematian kucing selepas satu pasangan membelinya dari syarikat itu melalui cawangan di Johor Bahru, Johor.

Bagaimanapun, TTPM memerintahkan tuntutan pasangan terbabit yang berjumlah RM20,000, ditolak.

640 dibaca
Berita Harian X