Jumaat, 12 Januari 2018 | 4:45pm

Penganggur didenda curi barang pelancong China

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri barang milik seorang pelancong warga China, tiga hari lalu.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap K Sugumaran, 47, selepas dia mengaku mencuri beg galas mengandungi wang tunai RM211 dan sebuah mikrofon milik Xiong Xingbao.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di Stesen MRT Bukit Bintang, Dang Wangi, di sini pada jam 3.30 petang, 9 Januari lalu.

Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh dihukum penjara dengan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.

Sugumaran yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

"Lagipun saya tidak bekerja kerana sakit dan pendapatan hanya bergantung kepada isteri," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X