Jumaat, 12 Januari 2018 | 8:45pm
- Foto Nadim Bokhari

SPRM serbu lagi...

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, menyerbu sembilan lagi syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, berhubung isu pembinaan terowong dasar laut di negeri ini.

Serbuan serentak antara pagi hingga tengah hari tadi itu, dilakukan pasukan penyiasat SPRM dari Putrajaya, bagi mendapatkan dokumen tambahan dan merakam percakapan saksi berkaitan projek mega yang menghubungkan Persiaran Gurney di sini, ke Bagan Ajam, Seberang Perai Utara, yang dianggar membabitkan kos RM6.3 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya turut merakam percakapan lapan saksi, termasuk setiausaha, penasihat dan perunding syarikat yang terbabit dalam pelaksanaan projek mega itu.

"Kita akan panggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan bagi membantu siasatan kes ini.

"Bagaimanapun, kita perlu masa untuk menyiasat kes ini kerana ia membabitkan aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ditanya kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang menyifatkan siasatan SPRM ke atas projek terowong dasar laut sebagai 'political witch hunter', Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Semalam, SPRM menyerbu 12 lokasi, termasuk beberapa agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, selain merakam percakapan 10 saksi berhubung isu pembinaan terowong dasar laut.

Selasa lalu, SPRM turut menyerbu beberapa agensi kerajaan di KOMTAR dan tiga pejabat syarikat yang terbabit dalam pembinaan terbabit, selain menahan pengerusi dan timbalan pengerusi dua syarikat bergelar Datuk.

Sementara itu, sumber berkata, pasukan penyiasat kini sedang merakam percakapan saksi dalam syarikat yang dilantik mengendali projek itu bagi mengenal pasti proses pembayaran bagi kajian kebolehlaksanaannya.

Katanya, menerusi penelitian dokumen yang dirampas dalam proses siasatan, dipercayai dapat membantu mengenal pasti sama ada bayaran RM305 juta itu adalah nilai sebenar atau yang sudah dinaikkan.

"SPRM juga sedang menyiasat sama ada syarikat terbabit mempunyai pengiktirafan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut, selain meneliti latar belakang pakar dilantik untuk membuat kajian ini, sama ada mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut atau sebaliknya.

"Tidak kira sama ada pakar yang dilantik itu terdiri daripada kerajaan mahu pun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalankan kajian terowong dasar laut," katanya.

Difahamkan, kerajaan sebelum ini, sudah menetapkan piawaian kepakaran untuk menjalankan semua kajian kebolehlaksanaan, termasuk kajian kebolehlaksanaan bagi projek terowong dasar laut.

649 dibaca
Berita Harian X