Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:03pm
SUSPEK berusia 32 tahun yang dikenali sebagai 'Sarjan Faiz' ditahan untuk siasatan kerana melarikan gadis berusia 17 tahun, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi dari rumahnya di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, pada 27 Disember lalu. - Foto ihsan PDRM

Kes cabul, 'Sarjan Faiz' direman di Cameron Highlands

KUANTAN: Suspek kes melarikan remaja perempuan di Raub pada 27 Disember lalu, direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, hari ini bagi membantu siasatan kes cabul gadis bawah umur.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid, berkata suspek berasal dari Taman Bukit Indah, Bentong, direman selama lima hari hingga Selasa ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencabul gadis berusia 16 tahun.

"Sebelum ini, suspek direman 12 hari di Raub dan selepas tamat (reman), kita tahan suspek bagi membantu siasatan kes mencabul kehormatan gadis bawah umur.

"Kita jalankan siasatan mengikut Seksyen 354 KK. Ini kes lain, bersangkut kes di Brinchang, Cameron Highlands tahun lalu dan lelaki ini disyaki suspek utama kejadian itu, ...untuk kes Raub, suspek disiasat mengikut Seksyen 363 dan 170 KK kerana menculik dan menyamar sebagai penjawat awam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, suspek berusia 32 tahun yang dikenali sebagai 'Sarjan Faiz' ditahan untuk siasatan kerana melarikan gadis berusia 17 tahun, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi dari rumahnya di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, pada 27 Disember lalu.

  

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata siasatan pihaknya terhadap suspek terbabit mengikut Seksyen 363 dan 170 Kanun keseksaan selesai dan kertas siasatan sudah dihantar kepada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 KK terhadap suspek kerana dipercayai terbabit dalam satu kes penipuan di Raub.

  

Media sebelum ini melaporkan, Nur Syaminn dilarikan suspek kira-kira jam 11 pagi pada 27 Disember tahun lalu.

  

Pada jam 3 petang hari sama, Nur Syaminn menghubungi ibunya memaklumkan dia berada di Gua Musang, Kelantan, bersama suspek yang mengaku anggota Balai Polis Sungai Ruan itu sebelum talian dimatikan.

  

Gadis itu kemudiannya ditemui selamat di sebuah stesen bas di Raub jam 11.05 pagi pada 29 Disember tahun lalu selepas menaiki bas dari Kuala Lumpur dan dibawa polis untuk siasatan lanjut.

  

Selepas 10 hari menjadi buruan, suspek akhirnya diberkas Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman jam 2 pagi di depan sebuah hotel di Ipoh, Perak pada 6 Januari lalu.

  

Suspek kemudian dibawa ke IPD Raub dan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan sebelum tempoh berkenaan dilanjutkan hingga semalam.

2200 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »